Home > Info Terkini > PERNIAGAAN ATAS TALIAN SEMAKIN BERKEMBANG

PERNIAGAAN ATAS TALIAN SEMAKIN BERKEMBANG

JOHOR BAHRU, 1 APRIL 2017 – Perniagaan dalam talian semakin berkembang dari tahun ke tahun dengan jumlah pendaftaran semakin melonjak naik.

Sehingga 20 Mac 2017, sebanyak 47,198 peniaga dalam talian telah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Purata pendaftaran dalam talian ini adalah sebanyak 1,000 sebulan.

“Pelbagai kelebihan boleh diperoleh dengan mendaftar perniagaan. Di antaranya, mendapat kepercayaan pengguna atau pembeli untuk berurusan dengan peniaga-peniaga dalam talian dan menjadikan perniagaan itu sah di segi undang-undang,” ujar Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK), Dato’ Henry Sum Agong di Majlis Perasmian Karnival Online Networking Entrepereneurs (ONE) SSM Johor 2017 di Plaza Angsana dekat sini hari ini.

Majlis ini berlangsung selama dua hari dari 31 Mac berakhir hari ini. Majlis perasmian disempurnakan wakil Menteri Besar Johor.

Katanya, Johor adalah destinasi pertama penjelajahan program One SSM tahun ini sebelum ke Pulau Pinang, Sabah dan berakhir di Melaka.

Menurutnya, dengan kerjasama gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Melayu Malaysia (GAPEMA), program ini berjaya menghimpunkan komuniti peniaga dalam talian sebagai jambatan mewujudkan jaringan di antara mereka sebagai pemain industri serta bertukar-tukar teknik dan ilmu dalam mengembangkan perniagaan masing-masing.

Hadir sama, Ketua Setiausaha KPDNKK, Dato’ Sri Jamil Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Dato’ Zaharah Abdul Wahab Fenner.

 

 

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNKK