Home > Video > Tiada kenaikkan tarif elektrik bagi semua kategori pengguna sehingga Disember 2019.

Tiada kenaikkan tarif elektrik bagi semua kategori pengguna sehingga Disember 2019.

KUALA LUMPUR: Tiada kenaikan tarif elektrik bagi semua kategori pengguna elektrik domestik ataupun komersial dan industri untuk tempoh Julai hingga Disember tahun ini.

MENTERI Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin. – NSTP/Aizuddin Saad

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, berkata berdasarkan mekanisme ‘Imbalance Cost Pass Through’ (ICPT), kos bahan api dan peningkatan kos penjanaan lain yang perlu dilepaskan kepada pengguna bagi tempoh sama berjumlah RM1.592 bilion melalui surcaj kepada pengguna, iaitu peningkatan sebanyak 0.39 sen/kwj.

Bagaimanapun, katanya, untuk mengurangkan beban rakyat serta pihak komersial dan industri, kerajaan mengambil pelbagai langkah dengan mengurangkan kos yang perlu dilepaskan kepada pengguna.

“Kementerian melalui Suruhanjaya Tenaga telah membuat pelarasan ke atas hasil dan kos elektrik pada tahun 2018 dan 2019 di bawah ‘Incentive-Based-Regulation’ (IBR) berdasarkan peruntukan ‘Regulatory Implementation Guidelines’ (RIGs) dan berjaya mendapatkan jumlah penjimatan sebanyak RM336.70 juta.

“Kementerian juga mendapat kelulusan Kabinet untuk menyumbang subsidi kepada tarif elektrik melalui peruntukan dana daripada Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) sebanyak RM107.16 juta,” katanya pada sesi soal jawab lisan persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Bee Yin menjawab soalan Datuk Hasbullah Osman (BN-Gerik) yang ingin tahu adakah kerajaan mengkaji semula tarif elektrik baharu berikutan pergerakan harga arang batu dan gas di pasaran antarabangsa yang merosot dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Beliau berkata, meskipun harga pasaran bahan api mengalami penurunan kebelakangan ini, namun penetapan ICPT bagi Julai hingga Disember ini adalah berdasarkan harga purata bahan api bagi tempoh Januari hingga Jun lepas.

Katanya, kementeriannya sedang merangka Akta Kecekapan dan Konservasi sebagai langkah penggunaan tenaga dengan cekap sekali gus dapat menurunkan penggunaan elektrik dan menjimatkan bil elektrik.

“Satu sesi libat urus dan perbincangan dengan Ahli-ahli Parlimen akan diadakan bagi mendapatkan maklum balas mengenai akta tersebut,” katanya. – BERNAMA

Sumber : BERITA HARIAN https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/07/585248/tiada-kenaikan-tarif-elektrik-hingga-disember