Home > Info Pengguna > Program 1 Siswa 1 Usahawan

Program 1 Siswa 1 Usahawan

ARAU, 25 FEBRUARI 2017 – Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM 10 juta untuk membantu usahawan muda dari kalangan mahasiswa untuk membuat pendaftaran perniagaan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dalam tempoh 10 tahun ini.

Dengan agihan sebanyak sejuta ringgit bagi setiap tahun membolehkan kira-kira 1,000 usahawan muda membuat pendaftaran secara percuma dengan pembiayaan yang disediakan kerajaan itu.

Usaha ini dilihat sebagai membantu golongan mahasiswa untuk merancang masa depan mereka dengan melibatkan diri dengan dunia perniagaan sejak dari awal tanpa mengharapkan kerja makan gaji sama ada di sektor awam atau swasta.

“Mulai tahun ini, kerajaan telah memperkenalkan pendaftaran secara percuma di SSM khusus untuk mahasiswa di semua Institusi Penggajian Tinggi (IPT) sama ada IPT awam mahupun swasta bagi membolehkan mereka memulakan perniagaan dan berjinak-jinak dengan dunia usahawan sebelum mereka menamatkan pengajian kelak. Hari ini kita telah berjaya mendaftarkan kira-kira 90 mahasiswa untuk program ini dan kita menjangkakan sasaran 1,000 mahasiswa yang mendaftar tahun ini akan tercapai. Yuran pendaftaran sebanyak RM90 dimansuhkan untuk pendaftaran kali pertama khusus untuk golongan ini,” ujar Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK), Dato’ Sri Jamil Salleh yang juga selaku Pengerusi SSM  ketika bercakap pada pemberita selepas majlis pelancaran Karnival Young Prenuers GO (YPGO) SSM oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertempat di Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) di sini hari ini.

Karnival yang berlangsung pada 24 hingga 25 Februari itu bertujuan menggalakkan golongan pelajar menceburi bidang perniagaan sebagai salah satu kerjaya pilihan serta mempertingkatkan kesedaran berkaitan kewajipan mendaftarkan perniagaan dan pengurusan perniagaan yang baik dalam kalangan pelajar. Ia adalah program pertama yang dijalankan SSM sebelum menjelajah ke tujuh lokasi lain menjelang akhir tahun ini.

Skim yang dinamakan 1 Pelajar 1 Peniagaan ini dijangka mendapat sambutan baik dari golongan pelajar IPT dalam tempoh terdekat ini. Hadir sama pada majlis pelancaran itu, Timbalan Menteri KPDNKK, Dato’ Henry Sum Agong dan Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Dato’ Zaharah Abd Wahab Fenner.

 

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNKK