Home > Info Pengguna > KPDNHEP SAMBUT BAIK PENJANA

KPDNHEP SAMBUT BAIK PENJANA

PUTRAJAYA, 5 JUN 2020 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyambut baik usaha kerajaan untuk menjalankan kempen ‘Shop Malaysia Online’ seperti yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara atau PENJANA, hari ini.

  Sebagai sebuah Kementerian yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga hal ehwal perdagangan dalam negeri dan kepenggunaan, langkah yang diambil ini tepat pada masanya, dalam usaha kita memulihkan ekonomi rakyat dan negara yang terkesan disebabkan penularan wabak Covid-19.

Shop Malaysia Online’ bertujuan menggalakkan rakyat berbelanja secara atas talian dan menyediakan platform kepada usahawan tempatan untuk memasarkan produk mereka. Kod promosi dan pelbagai baucar diskaun akan diberikan melalui platform e-dagang untuk menarik penglibatan usahawan atas talian serta pengguna untuk berbelanja.   

  Sebagai permulaan, Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM70 juta yang akan dipadankan dengan jumlah yang sama oleh platform e-dagang. Peruntukan ini tentunya dapat menghidupkan semula aktiviti ekonomi dan seterusnya membantu merangsang pemulihan ekonomi negara.

  Menurut Menteri KPDNHEP, Datuk Alexander Nanta Linggi, Kementerian ini  juga amat menghargai usaha Kerajaan dalam menggalakkan rakyat menyokong produk dan perkhidmatan tempatan melalui kempen ‘Buy Malaysia’. Inisiatif ini selari dengan usaha Kementerian yang akan melancarkan kempen yang sama dalam masa terdekat bagi membantu peniaga tempatan menjana pendapatan melalui platform digital.

 “Saya juga amat menghargai keprihatinan Kerajaan untuk merangka dasar bagi menyokong pertumbuhan ekonomi ‘gig’ dan kebajikan pekerja dalam sektor ini. Peruntukan sebanyak RM75 juta tentunya dapat membantu pemain industri yang terlibat di dalam sektor ekonomi ‘gig’ dan seterusnya melonjakkan lagi penggunaan teknologi dalam perniagaan.

“Ini tentunya dapat membantu usaha Kementerian dalam mempromosikan perniagaan digital secara holisitik. Ia juga dapat memberi manfaat kepada pengguna dan peniaga dan seterusnya menghidupkan semula aktiviti ekonomi dalam menghadapi norma baharu,” ujarnya ketika mengulas mengenai pembentangan PENJANA yang disiarkan melalui RTM 1 hari ini.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada 18 April lalu telah menyaksikan perubahan ketara di dalam trend pembelian barangan di kalangan pengguna. Ramai telah beralih dan beradaptasi dengan pembelian atas talian dan peniaga juga mula meneroka aplikasi digital bagi memasarkan produk jualan mereka.

 “Ini telah membuka platform yang lebih luas bagi perkembangan jual beli atas talian dan seterusnya merancakkan lagi ekonomi rakyat dan negara, selari dengan tema PENJANA, ‘Bersama Menjana Ekonomi’ tambahnya.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *