Home > Info Pengguna > PENIAGA DISARAN GUNA APLIKASI MYSEJAHTERA

PENIAGA DISARAN GUNA APLIKASI MYSEJAHTERA

PUTRAJAYA, 7 JUN 2020 – Kira-kira 75 peratus premis di Pusat Membeli-belah Alamanda telah menggunakan aplikasi MySejahtera untuk membantu dalam pengawasan penularan wabak COVID-19 di dalam negara dengan membolehkan pengguna melaksanakan penilaian kendiri tanpa lagi perlu mencatat nama setiap kali berurusan di sesebuah premis itu.

MySejahtera juga berfungsi membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapat maklumat awal untuk mengambil tindakan yang cepat dan berkesan. Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ewal Pengguna (KPDNHEP),Datuk Seri Haji Hasnol Zam Zam Haji Ahmad, pengunaan My Sejahtera ini patut diperluaskan ke seluruh negara bagi memudahkan  KKM memantau pergerakan orang ramai terutamanya sekiranya berlaku sesuatu  gejala penularan wabak ini.

Beliau yang melakukan program turun padang untuk pemantauanserta advokasi penggunaan MySejahtera di Pusat Membeli-belah  Alamanda disini hari ini. Hadir sama, Presiden Perbadanan Putrajaya, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Perdagangan Dalam Negeri) KPDNHEP dan Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, wakil Majlis Keselamatan Negara dan wakil Kementerian Kesihatan Malaysia.

Aplikasi ini dibangunkan untuk menyokong pelaksanaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342] dan ia boleh dimuat turun secara percuma. Kerajaan juga memberi jaminan bahawa maklumat peribadi pengguna yang menggunakan aplikasi ini adalah selamat dan digunakan bagi tujuan pemantauan dan pencegahan wabak COVID-19 sahaja. 

“ Ia tidak akan dikongsi atau diberikan kepada mana-mana pihak yang lain. Ini adalah selari dengan keperluan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010. Ia juga adalah selari dengan kehendak Akta 342 di mana Kementerian Kesihatan Malaysia sahaja yang mempunyai kuasa dalam menguatkuasakan serta mengurus tadbir hal berkaitan “contact tracing” ujarnya pada media selepas melakukan walkabout di sini.

Pada 3 Jun 2020, Kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara telah memuat naik Prosedur Standard Kerja (SOP) yang dikemas kini bagi sektor peruncitan. Antara perkara baharu yang diwartakan adalah keperluan pelanggan menggunakan kemudahan daftar masuk (CHECK-IN) aplikasi MySejahtera. Sektor peruncitan merupakan sektor pertama yang menggunakan kemudahan serta kelebihan aplikasi MySejahtera Check-In.

Fungsi terbaharu ini yang dikenali MySejahtera CHECK-IN adalah kemudahan yang perlu digunakan oleh pemilik premis bagi tujuan memudahkan urusan merekod butiran pelawat dan pelanggan ke premis masing-masing. Pengawalan kemasukan pelawat secara berstruktur dan seragam ini akan membantu memudahkan lagi urusan pelanggan dan premis perniagaan.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP