Home > Info Pengguna > Nilai situasi semasa pandemik sebelum buka sempadan Malaysia-Singapura

Nilai situasi semasa pandemik sebelum buka sempadan Malaysia-Singapura

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menilai situasi semasa penularan pandemik COVID-19, sebelum memutuskan pembukaan sempadan Malaysia-Singapura bagi perjalanan harian.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, ia susulan pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga Disember ini, yang membolehkan KKM menilai dan mendapatkan input-input penting daripada kedua-dua buah negara, termasuk kaedah mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 sebelum membuka sempadan.

“Lanjutan PKPP yang berlangsung selama empat bulan inilah waktu yang paling penting untuk kita. Bukan untuk cuba-cuba. Kita mesti mengikut data dan peraturan-peraturan yang boleh kita guna untuk sangkal sekiranya pembukaan tersebut dilaksanakan.

“Ini supaya tiada dakwaan kita tidak kawal sebaiknya, tiada dakwaan kita tidak mahu rakyat selamat. Kita tidak mahu ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Lego Mural bagi Menghargai Petugas Barisan Hadapan COVID-19 di Taman Tema Legoland, di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri dan Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad.

Dr Adham berkata, terdapat desakan supaya sempadan kedua-dua negara dibuka memandangkan ia berkaitan punca pendapatan dan ekonomi masyarakat yang terjejas, susulan penutupan pintu sempadan akibat COVID-19.

“Kita memang merancang untuk buka segera yang boleh, kerana tekanan daripada masyarakat yang menjurus kepada punca pendapatan, di mana ekonomi adalah penting tetapi kesihatan juga penting. Jadi kita kena seimbang,” katanya.

Hasni juga sebelum ini beberapa kali mendesak kerajaan pusat untuk membuka semula sempadan Malaysia-Singapura dalam kadar segera.

Sementara itu KKM merancang untuk menggandakan jumlah ujian swab di bawah skim Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) antara Singapura dan Malaysia.

Pada ketika ini, jumlah ujian swab yang dilakukan KKM untuk skim PCA adalah sebanyak 2,000 manakala 400 bagi RGL.

Sumber : BERNAMA