Home > Info Pengguna > COVID-19: KKM tambah 1,899 pelantikan petugas kesihatan secara kontrak

COVID-19: KKM tambah 1,899 pelantikan petugas kesihatan secara kontrak

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia akan menambah sebanyak 1, 899 petugas kesihatan melalui pelantikan kontrak bagi tujuan menyokong perkhidmatan kesihatan semasa penularan wabak COVID-19.

Perkara ini dimaklumkan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Adham Baba menerusi laman Twitter beliau hari ini.

Kenyataan itu turut menekankan bahawa KKM telah pun mengambil langkah segera dengan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kedah, Sabah dan Selangor.

Namun, selaras dengan perkembangan semasa yang menunjukkan trend peningkatan semula wabak COVID-19, tambahan seterusnya diperlukan bagi petugas kesihatan.

BACA SEMUA BERHUBUNG COVID-19 DI SINI

Antara petugas kesihatan sokongan tambahan yang dipohon adalah pegawai penyelidik, jururawat, penolong pegawai perubatan, penolong pegawai kesihatan persekitaran, juruteknologi makmal perubatan dan pembantu tadbir (perkeranian/operasi dan kewangan).

“Permohonan telah dikemukakan pada 9 Oktober selaras dengan persetujuan Kerajaan agar Kementerian Kesihatan dipertimbangkan untuk menambah petugas kesihatan kepada sejumlah 2,000 lantikan kontrak seperti yang telah diluluskan oleh Kerajaan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin sebelum ini,” tambah Dr Adham.

Selain daripada di hospital, klinik, makmal dan pusat kesihatan, petugas-petugas juga akan ditempatkan di stesen-stesen kuarantin di seluruh negara dan di pintu-pintu masuk antarabangsa negara.

Sumber : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/covid19-kkm-tambah-1899-pelantikan-petugas-kesihatan-secara-kontrak-263171