Kota Kinabalu, 06 Jun 2023 – Kunjungan Hormat Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) ke atas YBrs Dr. Ramle Hj. Kasin (Ketua Pengarah Lembaga Koko Malaysia). Rombongan ini diketuai oleh Tuan Abdul Malik Bin Jamaran (Timbalan Presiden Kebangsaan MTPN), bersama Tuan Kevin Lo (Yang Dipertua MTPN Sabah) bersama wakil – wakil MTPN yang lain.
Tujuan kunjungan ini diadakan adalah untuk memperkenalkan MTPN dan objektif penubuhannya serta membincangkan potensi jalinan kerjasama strategik seperti penganjuran Pameran Kepenggunaan, Program Kesedaran Pengguna terhadap Khasiat, Kebaikan dan Kegunaan Koko, Kursus dan Bengkel Keusahawan Coklat serta lain-lain program yang bersesuaian dengan kepenggunaan yang boleh dijalankan bersama pada masa akan datang.
Pihak MTPN juga amat teruja diberi peluang untuk melawat premis pengusaha coklat di Sabah iaitu Jaws & Claws dan Cocoa Kingdom selepas selesai sesi perbincangan di pejabat YBrs Dr. Ramle.
Seluruh pihak MTPN mengucapkan ribuan terima kasih kepada YBrs Dr. Ramle di atas kesudian menerima kunjungan kami. Semoga dengan kunjungan ini dapat mengeratkan lagi hubungan dua hala dan seterusnya bersama-sama membantu meningkatkan lagi kesedaran masyarakat mengenai sumbangan yang boleh diberikan kepada mereka di kemudian hari.





