Sabah, 6 Jun 2022- Pihak Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) Sabah yang diketuai oleh YDP Tuan Kevin Lo membuat Kunjungan Hormat ke Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sabah yang disambut mesra oleh Pengarah JAS Negeri Sabah, Tuan Amirul Bin Aripin; Ketua Pen. Pengarah(P) Bahagian Pembangunan, En. Yaras Bin Yusup dan Pen. Pengarah Unit Pendidikan/Pengawasan/ICT, Puan Chai Hsieh Nee.

Kunjungan hormat ini bertujuan untuk menjalin hubungan kerjasama yang erat dalam mengadakan aktiviti-aktiviti dan program-program untuk meningkatkan kesedaran serta memberi pendidikan kepada rakyat tentang tanggungjawab dan hak mereka untuk mendapatkan alam sekitar yang bersih dan selamat.
Pihak JAS juga turut berkongsi tentang salah satu program yang dilaksanakan iaitu e-waste. E-waste merupakan barangan elektrik dan elektronik yang telah rosak, tidak berfungsi atau lama / usang seperti telefon bimbit, komputer, televisyen, mesin basuh, peti sejuk dan pendingin hawa. Untuk memastikan pelaksanaan sistem pengurusan e-waste yang lestari, pengguna/ penjana buangan (orang awam) adalah bertanggungjawab untuk melupuskan e-waste ke peruncit, pengumpul yang berdaftar atau kemudahan pemerolehan kembali yang dilesenkan sahaja.


Selain itu, JAS juga mengalu-alukan pihak MTPN menyertai Program Rakan Alam Sekitar (RAS) yang merupakan inisiatif Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) dalam membangunkan kesedaran dan menggerakkan anggota masyarakat dalam aktiviti pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar. Rakan Alam Sekitar melibatkan anggota masyarakat secara `hands-on’ iaitu menjadi `mata dan telinga’ untuk membantu agensi-agensi Kerajaan yang bertanggungjawab dalam membanteras kegiatan-kegiatan yang merosakkan atau mencemarkan alam sekitar.
Di samping itu, JAS menerangkan tentang Apps yang dipanggil ‘MyIPU’ untuk dimuat turun di smart phone yang membolehkan kita mendapat maklumat terkini tentang kadar IPU (Index Pencemaran Udara) di kawasan tempat tinggal kita. Ianya adalah indikator tahap kualiti udara di kawasan anda. MyIPU adalah ‘mobile application’ yang memberikan maklumat bacaan terkini IPU di kawasan anda melalui bacaan stesen ‘Continuous Air Quality Monitoring (CAQM) di Malaysia berdasarkan klasifikasi standard kesihatan. Ianya akan dikemaskini setiap satu jam untuk memberikan bacaan terkini IPU.

MTPN Sabah akan bekerjasama bersama pihak JAS Negeri Sabah dengan mengadakan pelbagai aktiviti dan program di masa depan dalam meningkatkan kesedaran tentang kepentingan memelihara dan memulihara alam sekitar yang selaras dengan visi JAS untuk kesejahteraan rakyat. Kunjungan hormat berakhir dengan pemberian cenderahati sebagai kenang kenangan antara dua pihak sebagai tanda penghargaan.
