Johor, 15 Jun 2023 – Pihak Majlis Tindakan Pengguna Negara telah membuat kunjungan hormat ke Pejabat PERKESO Negeri Johor yang diketuai oleh YDP MTPN Johor, Tuan Noorman Kamsani dan diiringi oleh wakil – wakil dari jawatankuasa pihak ibu pejabat MTPN dan Yayasan Masyarakat Lestari Malaysia.
Kedatangan pihak MTPN disambut baik oleh tuan pengarah PERKESO Negeri Johor iaitu Tuan Tong Tong Sing Chuang bersama Tuan Fahruddin bin mustafal bakri, Puan Nurul Ainaa Nadhirah Binti Mohd Ishar dan beberapa pegawai lain yang turut bersama – sama berkongsi segala idea dan pendapat bagi menambahbaik peluang bantuan yang dapat diberikan kepada orang awam untuk setiap masalah yang diadukan.
Tujuan lawatan ini diadakan adalah untuk memperkenalkan MTPN dan objektif penubuhannya dan membincangkan cara yang tepat untuk mendidik pengguna mengamalkan perlindungan kendiri serta mempertingkatkan keupayaan pengguna terutama berkaitan hak mereka serta menerangkan program-program dan aktiviti berkaitan kepenggunaan yang boleh dijalankan bersama pada masa akan datang.



Pihak Perkeso juga telah berkongsi mengenai pelbagai program yang telah dianjurkan dibawah PERKESO dan telah menarik minat ahli – ahli MTPN untuk mendaftar dengan salah satu Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) di samping menjadikan MTPN sebagai salah satu rakan strategik untuk program Perkhidmatan Mysynergy Sosial yang dilaksanakan untuk membantu bagi meringankan beban dan kesusahan orang awam di samping memberikan perkhidmatan konsultasi, rawatan, pendidikan, kemahiran, bencana dan lain – lain.
Seluruh pihak MTPN mengucapkan ribuan terima kasih kepada Tuan Tong Tong Sing Chuang di atas kesudian menerima kunjungan kami. Semoga dengan kunjungan ini dapat mengeratkan lagi hubungan dua hala dan seterusnya bersama-sama membantu meningkatkan lagi kesedaran masyarakat mengenai sumbangan yang boleh diberikan kepada mereka di kemudian hari.